Monday, June 13, 2011

Bahasa Bunda

bismillah..

2-3 hari lepas, aku terbaca post Mahaguru Bahasa Melayu aku di sekolah menengah dulu, Mllm. Hasni Yusof, di facebook. Mllm. (Cikgu) memberi komentar tentang salah satu artikel surat khabar tentang penggunaan Bahasa Melayu masa kini. Bagaimana pengaruh sms, facebook, dan twitter terhadap kemurnian Bahasa Melayu. Penggunaan tatabahasa yang tidak tepat, penggunaan kata singkatan yang sangat meluas, tergantung identiti penulis masing-masing; justeru akhirnya pasti akan menyebabkan generasi lanjut keliru dengan identiti sebenar yang dikatakan sebagai 'anak bangsa' itu sendiri. Bak kata pepatah, bahasa mencerminkan bangsa.

Maka oleh kerana itu, aku sendiri mengambil inisiatif untuk mula membudayakan kembali apa yang dikatakan sebagai Bahasa Melayu yang betul, sesuai dengan apa yang telah aku pelajari sewaktu di bangku sekolah. Memang aku sendiri akan merasa janggal, pasti ada tatabahasa yang tidak tepat, tentu banyak dugaan dan cabaran yang menunggu, tetapi aku akan cuba seboleh mungkin untuk mendokong bahasa ibundaku ini. Memang tidak salah untuk menelusuri arus kemajuan, mengikuti perkembangan anak-anak muda zaman ini, tetapi jangan sampai identiti kita turut hanyut tanpa kita sedari.

Tambahan lagi aku sekarang hidup bermastautin di Indonesia. Bahasa di sini tidak banyak beza, walaupun budaya hampir tidak ada yang sama. Aku berazam untuk terus mengekalkan budaya tanah airku yang tercinta, bermula dengan membudayakan Bahasa Melayu yang betul. Semoga aku terus diberi kekuatan untuk terus menjadikan Bahasa Melayu kembali kemilaunya, sepertimana megahnya bahasa ini sewaktu zaman Melayu Melaka suatu ketika dahulu..

Wassalam..

No comments: